Bukan setakat supaya orang Melayu bercakap dalam bahasa ibunda, masyarakat Melayu juga dianjurkan supaya berbual dengan menggunakan sebutan baku. Pelbagai aktivi (kegiatan) - forum, ceramah, bengkel, perdebatan dan sebagainya - telah diadakan. Dengan menggunakan bahasa ibunda, diharapkan Bahasa Melayu akan tetap mengembang mekar dan tidak akan terkubur. Ia juga diharapkan orang Melayu akan merasa bangga dengan bahasa sendiri supaya dapat menguatkan jatidiri Melayu, lantas maruah bangsa tidak menjadi korban.
Bahasa Melayu adalah bahasa yang sungguh indah - bahasa yang penuh dengan sopan santun, bahasa yang dialas dengan kekata halus bagi menghormati si pendengar, bahasa yang mengharuskan peradaban. Pepatah Melayu, 'Bahasa Jiwa Bangsa', mencerminkan akhlak orang Melayu yang peramah, beradab, bersopan-santun, menghormati, merendah diri, dan bermaruah . Tetapi, sedih sekali, yang menggunakan bahasa yang indah ini tidak sebegitu indah perangai. Telinga ini sudah jemu, mual dan bosan mendengar kekata yang tidak sopan, yang lucah. Langsung tidak ada rasa segan silu, apatah lagi menghormati.
Sungguhpun berbahasa Melayu tetapi tidak mencerminkan peradaban yang sepadan, apakah bahasa Melayu akan tetap mengembang mekar dan tidak terkubur juga? Berbahasa dalam bahasa ibunda adakah ia akan menguatkan jatidiri Melayu? Adakah Melayu itu bukan Melayu jika berbahasa bukan dengan bahasa ibunda?
Walaupun 'Bahasa Jiwa Bangsa', akhlak yang beradab dan bersopan itulah yang menentukan martabat bangsa, sekali gus menjamin tidak hilangnya bangsa itu dimuka bumi ini. Ia juga yang akan menyedarkan dan menguatkan jatidiri Melayu kita. Maruah bangsa tetap terjaga dan kekal.
'Tak Melayu hilang di dunia."
No comments:
Post a Comment